MINTA IZIN UNTUK MASUK RUMAH

Hari ni, Ustaz nak berkongsi mengenai minta izin untuk masuk rumah. Jom dan marilah bersama.  Pada zaman Umar bin al-Khattab RA menjadi khalifah, Abu Musa al-Asy’ari RA pernah meminta izin sebanyak 3 kali untuk masuk bertemu dengan Umar RA, tetapi tidak diizinkan masuk. Boleh jadi ketika itu Umar sedang sibuk. Abu Musa pun pulang. 

Kemudian, apabila Umar jemput sekali lagi Abu Musa untuk datang, Umar ingin tahu sebab apa Abu Musa pulang tadi. Abu Musa pun beritahu bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda (seperti dalam Sahihain)

:إِذَا اسْتَأْذَنَ أَحَدُكُمْ ثَلاَثًا فَلَمْ يُؤْذَنْ لَهُ فَلْيَرْجِعْ

“Apabila seseorang daripada kamu sudah meminta izin sebanyak 3 kali, tetapi tidak diberikan izin untuk masuk, maka pulanglah.”
Umar rasa hairan kerana beliau tidak tahu tentang hadis Rasulullah ini. Beliau juga bimbang andai Abu Musa tersilap. Maka beliau minta Abu Musa bawa seorang saksi untuk mengesahkan hadis ini. Abu Musa jadi cemas lalu beliau pun beredar dan pergi ke majlis orang-orang Ansar. Beliau minta seseorang dalam kalangan orang Ansar yang boleh menjadi saksi untuk mengesahkan hadis tersebut. 

Disebabkan hadis ini diketahui dan masyhur dalam kalangan orang Ansar, mereka hanya minta sahabat yang muda untuk pergi bersama Abu Musa. Ketika itu, yang paling muda adalah Abu Said al-Khudri RA.Maka Abu Said pun pergi bersama Abu Musa untuk bertemu Umar dan Abu Said mengesahkan hadis tersebut.
Berdasarkan hadis ini, kita tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah orang melainkan dengan meminta izin. Ini adab yang diajarkan oleh Islam kerana rumah seseorang adalah hak peribadi. Selagi belum diizinkan masuk maka seseorang tidak berhak masuk.Semoga Allah SWT membimbing kita menjadi insan yang berakhlak mulia. 

Semoga Allah mebimbing kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *