Nabi Hijrah Pada Bulan Safar?

Hari ni, Ustaz nak berkongsi mengenai adakah Nabi hijrah pada bulan Safar? 

Jom dan marilah bersama. 

1. Ya, menurut Sheikh al-Mubarakfuri, Baginda Nabi pada hakikatnya bergerak keluar dari rumah Baginda untuk berhijrah ke Madinah adalah pada bulan Safar dan bukannya bulan Muharram. Timbul persoalan di sini, jadi mengapa dikatakan 1 Muharram itu detik permulaan, perkiraan tahun Islam hijrah? 

2. Perkara ini telah pun dijelaskan oleh al-Imam Ibn Hajar bahawa keazaman Baginda Nabi untuk berhijrah telah bermula sejak bulan Muharram lagi. Ini kerana, setelah berlakunya Bai’ah Aqabah pada bulan haji (Zulhijjah), keazaman untuk berhijrah menuju ke penempatan kaum Ansar bertambah kuat. 
3. Oleh yang demikian, tidak salah juga untuk menyatakan perkiraan hijrah bermula dari bulan Muharram lagi. al-Hafiz Ibn Hajar yang menjelaskan:

وَإِنَّمَا أَخَّرُوهُ -أي التأريخ بالهجرة- مِنْ رَبِيعٍ الْأَوَّلِ إِلَى الْمُحَرَّمِ لِأَنَّ ابْتِدَاءَ الْعَزْمِ عَلَى الْهِجْرَةِ كَانَ فِي الْمُحَرَّمِ؛ إِذِ الْبَيْعَةُ وَقَعَتْ فِي أَثْنَاءِ ذِي الْحِجَّةِ وَهِيَ مُقَدِّمَةُ الْهِجْرَةِ،

“Sesungguhnya mereka (ahli sejarah) menetapkan (permulaan hijrah) dari bulan Rabi‘ al-Awwal ke bulan Muharram adalah kerana permulaan tekad untuk berhijrah itu berlaku pada bulan Muharram lagi. Ini kerana bai‘ah (dengan kaum Ansar) berlaku pada pertengahan bulan Zulhijjah, dan ia merupakan mukadimah kepada hijrah. 

4. Setelah keluar dari rumah pada penghujung bulan Safar, Nabi bersembunyi seketika di Gua Thur selama beberapa hari sehinggalah memulakan perjalanan Baginda pada bulan Rabiul Awwal.5. Atas riwayat inilah, kita dapati bahawa ada sebahagian salafusoleh yang berpandangan bahawa bulan pertama dalam Islam itu sebenarnya bermula pada Rabiul Awal. Kata Ibn Kathir:

وحكى السهيلي وغيره عن الإمام مالك أنه قال: أول السنة الإسلامية ربيع الأول؛ لأنه الشهر الذي هاجر فيه رسول الله صلى الله عليه وسلم

“Al-Suhaylī dan sarjana yang lain telah meriwayatkan bahawa Imam Malik pernah berkata: “Permulaan tahun Islam adalah bulan Rabi‘ al-Awwal, kerana itulah bulan di mana Rasulullah ﷺ berhijrah.” 
6. Secara umumnya dapat disimpulkan:
a. Nabi melaksanakan Baiah Aqabah dengan kaum Ansar pada bulan Zulhijjah 13 Kenabian
b. Nabi berazam untuk berhijrah pada Muharram 14 Kenabian
c. Nabi keluar dari rumah untuk berhijrah pada Safar 14 Kenabian.
d. Nabi keluar dari Gua Thur ke Quba pada Rabiul Awwal 14 Kenabian.
e. Nabi sampai di Madinah pada 8 Rabiul Awwal 14 Kenabian.

Semoga Allah menjadikan bulan Muharram ini, bulan kita memuliakan dan memartabatkan Islam.  

 Semoga Allah membimbing kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *