Zikir Nabi ﷺ Tidak Berat

Assalamualaikum & Salam Jumaat terbaik . 😀
 Jutaan terima kasih di atas segala sumbangan yang telah dibuat untuk pembangunan PUSAT TAHFIZ ANNUR❤️  Ustaz dan warga Tahfiz Annur mengucapkan Salam Maulidur Rasul 1445/2023 kepada semua

Hari ni, Ustaz nak berkongsi mengenai hadis cara memperbaharui iman kita. Jom.

Rasulullah ﷺ adalah rahmat buat sekalian alam. Baginda diutuskan bagi menyampaikan syariat Islam dalam kerangka yang mudah dan tidak memberatkan. Ini dinyatakan sendiri oleh Baginda Nabi ﷺ yang bersabda:

إِنَّ اللَّهَ لَمْ يَبْعَثْنِي مُعَنِّتًا وَلاَ مُتَعَنِّتًا وَلَكِنْ بَعَثَنِي مُعَلِّمًا مُيَسِّرًا

“Sesungguhnya Allah Swt. tidak mengutusku untuk mempersusah atau memperberatkan, tetapi Dia mengutuskan sebagai seorang pendidik yang memudahkan.” (HR Muslim)

Dalam erti kata yang lain, Rasulullah ﷺ diutuskan bagi membawa panduan yang mudah dan praktikal. Zikir yang diajar oleh Baginda Nabi bukanlah sesuatu yang berat. Ia boleh dipraktikkan oleh sesiapa sahaja sekalipun dengan tubuh yang lemah. Baginda pernah mengajarkan kepada sahabat satu zikir yang sangat mudah. Sabda Rasulullah:

مَنْ قَالَ: سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ، فِي يَوْمٍ مِائَةَ مَرَّةٍ، حُطَّتْ خَطَايَاهُ، وَإِنْ كَانَتْ مِثْلَ زَبَدِ البَحْرِ

“Barangsiapa yang mengucapkan “Subahanallah wa bihamdih” sebanyak seratus kali, maka akan diampunkan dosanya sekalipun sebanyak buih di lautan.” (HR al-Bukhari)

Perhatikan hadis ini, lafaz zikir yang diajarkan oleh Rasulullah ﷺ adalah sangat mudah iaitu “Subhanallahi Wa Bihamdihi” sahaja. Ungkapan zikir ini tidak berat jauh sekali memberatkan. Manakala dalam sebuah hadis yang lain pula, Rasulullah mengajarkan zikir yang mudah yang mempunyai ganjaran lumayan di syurga. Sabda Rasulullah:

مَنْ قَالَ سُبْحَانَ اللَّهِ العَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ، غُرِسَتْ لَهُ نَخْلَةٌ فِي الجَنَّةِ

“Barangsiapa yang mengucapkan “Subhanallahil Azimi WaBihamdihi” maka akan ditanam baginya pohon tamar di dalam syurga.” (HR al-Tirmizi)

Malah lebih ringkas daripada itu, Rasulullah ﷺ pernah menjelaskan bahawa sebutan zikir “Alhamdulillah” sahaja, pahalanya telah memenuhi neraca timbangan. Sabda Rasulullah:

والحمدُ للهِ تملأُ الميزانَ ، وسُبحانَ اللهِ والحمدُ للهِ تَملآنِ ما بين السماءِ والأرضِ

“Dan (ucapan) Alhamdulillah itu memenuhi neraca timbangan, (manakala lafaz) “Subhanallah Walhamdulillah itu memenuhi ruang langit dan bumi.” (HR Muslim)

Oleh yang demikian, perbaharui iman kita dengan ucapan zikir Lailaha Illah. Hayati maksud kalimah yang diungkapkan agar kita menjiwa ikrar dan taat setia ini. Mudah-mudahan ia mendekatkan diri kita kepada Allah.

Semoga Allah membimbing kita.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *