Perluas pengetahuan mahasiswa mengenai Matlamat Pembangunan Lestari

MATLAMAT pembentangan Belanjawan 2021 pada tahun lalu adalah untuk kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Intipati Belanjawan 2021 menyeluruh kerana meliputi semua lapisan masyarakat termasuk isi rumah B40, M40, pekerja dalam pelbagai bidang, belia dan peniaga.

Ia belanjawan paling besar dalam sejarah Malaysia, iaitu RM322.5 bilion.

Malaysia sedang berhadapan dua krisis terbesar, iaitu dari aspek kesihatan dan ekonomi memerlukan belanjawan sebesar itu kerana penularan COVID-19 memberikan pelbagai impak.

Rakyat menghadapi cabaran akibat COVID-19 seperti kadar pengangguran meningkat, syarikat muflis kerana perniagaan tidak berjalan lancar dan ekonomi negara terjejas.

Oleh itu, ia memberikan sinar harapan kepada semua pihak dalam memulihkan ekonomi negara ke landasan yang betul.

Selain Belanjawan 2021 menyentuh semua aspek tanpa meninggalkan mana-mana golongan, kita juga lihat ia untuk pembangunan negara termasuk perbelanjaan untuk pembangunan lestari.

Pembangunan lestari memenuhi keperluan masa kini tanpa menjejaskan kemampuan generasi masa depan untuk memenuhi keperluan sendiri. Ia diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan ideanya wujud sejak 1987 dalam Laporan Brundtland.

Pada 2015, Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) diterima pakai semua negara anggota PBB dengan matlamat untuk membanteras kemiskinan, melindungi planet ini dan memastikan semua individu menikmati kedamaian serta kemakmuran menjelang 2030.

Terdapat 17 SDG berkonsepkan tiada seorang individu ketinggalan berdasarkan 169 sasaran dan matlamat ini digubal supaya pembangunan ekonomi setiap negara masih berjalan lancar tanpa memberikan impak kepada alam sekitar serta manusia.

Kerajaan memperkenalkan inisiatif berkaitan SDG dalam Belanjawan 2021, iaitu RM20 juta diperuntukkan untuk Dana Amanah Malaysia-SDG bagi menyelaraskan pembiayaan sistematik dari sumber awam dan swasta.

Kerajaan juga memperuntukkan RM5 juta untuk menyokong program SDG dilaksanakan Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia dan kerajaan bakal menerbitkan bon kelestarian pertama pada tahun ini untuk tujuan alam sekitar dan sosial.

Kerajaan akan meneruskan projek Green Tech Financing Scheme 3.0 yang memperuntukkan RM2 bilion.

Pelbagai inisiatif diperkenalkan kerajaan dalam menyokong idea SDG ini. Persoalannya, adakah rakyat Malaysia mengetahui idea SDG?

Majoriti rakyat belum terdedah dengan SDG hingga menyebabkannya tidak mendapat sambutan ramai. Justeru, pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting dalam menyebarkan idea SDG ini kepada masyarakat.

Kerajaan perlu bekerjasama dengan syarikat penyiaran televisyen seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima dan Astro dalam memberikan pendedahan terhadap SDG kepada rakyat dalam bentuk visual.

Contohnya, iklan mengenai 17 SDG perlu selalu disiarkan. Ini sedikit sebanyak memberikan pendedahan awal kepada masyarakat yang tidak mempunyai pengetahuan terhadap SDG.

Kesannya, itu melahirkan sifat ingin tahu dalam masyarakat hingga menjadikan mereka peka terhadap perkembangan semasa dasar pembangunan negara.

Kerajaan hendaklah bekerjasama dengan organisasi berkaitan SDG. Organisasi ditubuhkan boleh melaksanakan aktiviti berkaitan SDG mengikut perancangan kerajaan dan PBB.

Contohnya, organisasi berkenaan melaksanakan program memberikan sumbangan keperluan asas bagi membantu rakyat yang dalam kesusahan akibat pandemik ini.

Maklumat mengenai program ini boleh disebarkan ke media sosial agar mendapat perhatian supaya mereka juga boleh menurut serta ataupun menghulurkan sumbangan. Ini memberikan impak baik kepada dasar SDG negara.

Institusi pendidikan seperti universiti juga memainkan peranan penting dalam meluaskan pengetahuan SDG terutama kepada pelajar. Pelajar yang majoritinya remaja menjadi platform terbaik untuk meluaskan pengetahuan mengenai SDG.

Apatah lagi, remaja hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara masa hadapan dan aset modal insan negara.

Pihak universiti hendaklah memperkenalkan mata pelajaran berkaitan SDG yang perlu diambil semua pelajar.

Silibus pengajaran bagi subjek berkenaan hendaklah selari dengan agenda pembangunan lestari dan menjalankan aktiviti serta projek mengenai penyelesaian masalah di universiti.

Ini secara tidak langsung dapat melahirkan graduan universiti bersifat holistik dan dapat bersaing. Pihak universiti hendaklah memanfaatkan dasar pembelajaran secara dalam talian dengan menggalakkan pelajar memuat naik projek atau hasil kerja mengenai SDG ke media sosial.

Ini dapat mencungkil kreativiti pelajar terhadap penyampaian maklumat mengenai SDG dan meningkatkan pengetahuan individu.

Jelaslah bahawa masyarakat merangkumi kerajaan, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, institusi pendidikan, rakyat dan individu menjadi ejen perubahan yang dapat menaikkan Malaysia setaraf negara maju.

Oleh itu, semua pihak perlulah berganding bahu antara satu sama lain dalam mencapai kesemua 17 SDG menjelang 2030.

Nurul Dayana Syafiqa Mohamad Sapri

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.