World #QuranHour Pentas Terbaik Umat Islam Dalami Al-Quran

KUALA LUMPUR – Walaupun wujud ancaman penularan wabak Covid-19 selain kekekangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan bersyarat (PKPB), namun bagi umat Islam ia bukan penghalang dalam mendekatkan diri dengan al-Quran pada bulan Ramadan ini.
Penganjuran program-program berkaitan al-Quran pada bulan yang penuh keberkatan ini, contohnya, siaran langsung World #QuranHour anjuran Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) menjadi medan baharu pencetus minda bagi ummah melalui QTT (Quran, Tadabbur, Tazakkur), dengan menerapkan nilai-nilai al-Quran.

Pada hari ini, World #QuranHour bertemakan ‘Reboot Global Harmony’ telah memilih Surah Ar-Rahman sebagai surah pilihan yang akan dibacakan oleh qari dari Malaysia dan Indonesia, selain pentadabbur dari kedua-dua negara akan menjelaskan setiap maksud ayat yang dibaca oleh qari bagi tujuan pemahaman kepada para peserta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif WUIF, Marhaini Yusoff, program sejam World #QuranHour yang diadakan pada 20 Ramadan setiap tahun adalah program kemuncak berinteraksi dengan al-Quran secara global melalui pendekatan baca, faham dan amal yang sangat ditunggu-tunggu untuk disertai oleh umat Islam di negara ini khususnya.

“Program World #QuranHour asalnya tercetus sebagai sebuah platform yang mengetengahkan ‘divine solutions’ dari 114 surah dalam al-Quran berdasarkan modul HTE (Heaven To Earth) melalui kaedah tadabbur al-Quran (mempelajari al-Quran) dan tazakkur al-Quran (menghayati al-Quran).

“Peserta amat tidak sabar-sabar untuk menyertai program sebegini demi memperbaiki diri dan akhlak peribadi mereka juga,” katanya ketika dihubungi Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata sebagai buktinya, setakat 2019, World #QuranHour telah diadakan di lebih 3,000 lokasi di Malaysia dan 300 lokasi di 76 negara, selain telah dapat menjangkau 1.46 bilion capaian dalam media sosial.

Jelas Marhaini lagi, gerakan berinteraksi dengan al-Quran menerusi konsep baca, faham dan amal ini mempunyai visi untuk MengQurankan Bangsa dan Mengikhlaskan Ummah dalam usaha mengubah pemikiran masyarakat agar menjadikan al-Quran sebagai panduan hidup.

Beliau juga menjelaskan, pada asalnya WUIF telah merancang untuk menganjurkan World Quran Convention Surah Ar Rahman yang dijadualkan pada April lepas yang bakal mengumpulkan tokoh-tokoh agama serta pemimpin dari beberapa belah dunia, namun terpaksa ditangguhkan akibat pandemik Covid-19 dengan satu tarikh baharu akan diumumkan kelak.

“Insya-ALLAH kita harap pada masa akan datang kita dapat laksanakan satu gerakan al-Quran yang membawa agenda #SavingFamilies, #SavingLegacy & #SavingTheNation serta ummah ini sehingga pada akhirnya kita dapat lahirkan negara yang berbudi dan penyayang, World of Compassion,” katanya.
Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/83276/KHAS/
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *